Peranti superkomputer

F5 Networks, pemimpin global dalam rangkaian pembekalan aplikasi memperkenalkan sistem perkakasan casis berbilah modular serba baru yang dinamakan Viprion.
Perkakas ini merupakan pengawal pembekalan aplikasi (ADC) pertama dalam industri yang disepadukan lancar dalam perniagaan organisasi. Viprion membolehkan sesebuah organisasi melaksanakan rangkaian pembekalan aplikasi (ADN).
Penyelesaian ini boleh dilaksanakan dengan satu atau dua bilah dan boleh diperluaskan. Sama ada menggunakan satu atau empat bilah, Viprion dilihat sebagai satu peranti kepada pengguna, aplikasi dan pentadbir bagi membolehkan organisasi menskala infrastruktur masing-masing sambil menjamin kos pengurusan tetap.
Dengan Viprio, F5 akan menambahkan tawaran produk landasan ADC sebagai pelengkap kepada rangkaian produk BIG-IP®. Tiada penyelesaian ADC lain di pasaran boleh menandingi ciri dan prestasi penskalaan ini.
Dengan daya pemprosesan 36G daripada L7 dan 200,000 urusan SSL sesaat, Viprion mencatatkan prestasi peringkat tinggi empat kali lebih baik daripada mana-mana produk pesaing di pasaran.
“Dari segi skala dan pelaksanaan infrastruktur pembekalan aplikasi, mungkin terdapat terlalu banyak alat mudah alih untuk menjalankan tugas kritikal dengan cekap dan berkesan,” kata Ivan Wen, Pengurus Negara bagi F5 Networks Malaysia.
“Oleh itu, banyak organisasi terus mendapatkan teknologi baru dan tenaga pekerja tetapi strategi ini menelan belanja besar dan menghasilkan pulangan yang berkurangan dalam jangka panjang.”
Dengan Viprion, F5 mengatasi segala masalah ini dengan menggabungkan fungsi keselamatan dan rangkaian, kuasa pemprosesan, pengimbang muatan dan perkhidmatan pembekalan aplikasi dalam satu casis yang dikongsi dan boleh diskala. Viprion menandakan satu kemajuan besar lalu mencipta kategori ’superkomputer’ ADC baru yang sukar ditandingi oleh pembekal lain.
Pelanggan perusahaan dan pembekal perkhidmatan boleh membina infrastruktur aplikasi lancar yang lebih mudah. Keupayaan dan kuasa pemprosesan tambahan boleh digabungkan pada bila-bila masa tanpa gangguan dan menyediakan ciri boleh skala untuk membolehkan sesebuah organisasi menyusun strategi pertumbuhan mampan.
Ciri-ciri utama sistem Viprion:
* Meningkatkan kapasiti tanpa gangguan. Berbeza daripada komponen bilah dan casis vendor lain, Viprion kekal sebagai alat rangkaian bersepadu tidak kira bilangan bilah yang ditambah. Ciri bersepadu dan fleksibiliti peralatan ini memudahkan pengurusan kerana infrastruktur yang lebih ringkas memberi organisasi tahap kebolehpercayaan rangkaian dan kawalan lebih ketat terhadap kos operasi. Syarikat perusahaan yang memerlukan kuasa pemprosesan lebih besar boleh menambah satu lagi bilah pada unit sedia tanpa menggunakan peranti berasingan.
* Mencapai tahap kebolehpercayaan unggul. Viprion menawarkan tahap ketersediaan dua peringkat di peringkat bilah dan casis. Sebarang kerja naik taraf kapasiti atau kegagalan komponen perkakas tidak akan menjejaskan pembekalan aplikasi. Dalam sistem Viprion dengan berbilang bilah, jika sesebuah bilah gagal, bilah lain dalam casis boleh mengambil alih sistem pemprosesan tanpa sebarang gangguan.
gilerrr….kamera hapa nii?
Kompak, nipis, kecil

DIKENALI dengan ciri weatherproof bertaraf dunia pada kamera digital siri m (mju) nya, Olympus menandakan hala tuju baru apabila tampil dengan kamera bernilai estetika setaraf dengan cirinya. Kamera m1010 yang didatangkan dalam bentuk nipis ini boleh didapati dalam dua varian iaitu warna perak dan hitam.
Lensa berteknologi prestasi tinggi DSA itu dibangunkan menggunakan teknologi ulung Olympus, membolehkan kamera yang setebal 25.2 milimeter dan seberat 135 gram itu dengan keupayaan zoom yang hebat. Model ini juga menawarkan pengimejan yang jelas dan berkontras tinggi.
Bahkan, ia diletakkan sebagai satu-satunya kamera kompak, nipis dan kecil dalam dunia hari ini yang menawarkan keupayaan tujuh kali zoom optikal, sekali gus memberikan keseronokan mengambil gambar pada jarak dekat.
Kamera ini memiliki sehingga 10.1 megapiksel dengan kebolehan tahan tekanan air pada kedalaman 40 meter. Ia mula dijual bulan ini pada kadar harga RM1,199.
Kamera video lima mikrofon

KAMERA video HDC-DX1 dari Panasonic ini mampu merakam gambar dengan cantik beserta perincian imej berdefinisi tinggi. Ia juga merupakan salah satu daripada kamera video Panasonic yang memiliki sistem bunyi persekitaran 5.1 saluran dengan lima buah mikrofon.
Spesifikasi:Model: HDC-DX1
Dimensi: 92 x 91 x 174 milimeter
Berat: 680 gram (tanpa bateri)
Lensa: Auto iris, 12 x kuasa zoom
Paparan: 3 inci
Pembesar suara: jenis dinamik
Diameter penapis: 43 milimeter
Iluminisasi: 1,400 lx
Format gambar bergerak: MPEG4
Format gambar pegun: JPEG
4 tikus da kluar…microsoft punye keje
PENGELUAR perisian sistem operasi komputer, Microsoft mengorak langkah memperkenalkan barisan produk sebagai kesinambungan dalam mengukuhkan posisinya melalui empat tetikus pelbagai guna sesuai untuk permainan komputer, melayari Internet dan urusan pejabat seharian.
Empat tetikus berteknologi tinggi itu termasuk model Wireless Notebook Laser Mouse 7000, Bluetooth Notebook Mouse 5000, Microsoft SideWinder Mouse dan Microsoft Mobile Memory Mouse 8000.
Dua model yang berkeupayaan menjadikan laptop anda lebih terkawal iaitu Wireless Notebook Laser Mouse 7000 dan Bluetooth Notebook Mouse 5000 membolehkan pengguna melayari peranti menggunakan tetikus tanpa wayar dengan teknologi 2.4GHz serta bluetooth.
Wireless Notebook Laser Mouse 7000 membolehkan pengguna skrol dengan empat arah iaitu kiri, kanan, atas serta bawah dan butang kembali memudahkan pelayaran Internet.
Manakala Bluetooth Notebook Mouse 5000 dilengkapi Sistem Pengesan Pintar Microsoft untuk memberi tindak balas sehingga 1,000 dot seinci dan 6,000 kerangka sesaat bagi ketepatan membaca pergerakan.
Kepada pemain permainan ‘online’, tetikus Microsoft SideWinder mampu mengubah corak permainan menjadi lebih teruja dengan kemudahan LCD dan 10 butang pelbagai fungsi selain mengurangkan beratnya dari lima gram sehingga 10 gram mengikut keselesaan.
Satu lagi model tetikus iaitu Microsoft Mobile Memory Mouse 8000 membenarkan pengguna menyimpan data di dalamnya sebanyak satu giga bait dengan baterinya dicaj secara terus ke komputer peribadi (PC) atau laptop dengan ‘laser’ definisi tinggi.
spesifikasi
PRODUK: Wireless Notebook Laser Mouse 7000
HARGA: RM159
SISTEM OPERASI: Windows VIsta, XP, 2000 dengan Service Pack 4, MacOS X v10.2 hingga 10.4x
CAKERA KERAS: 45MB
SAMBUNGAN: USB
KEPERLUAN: akses internet
KELEBIHAN: penunjuk jangka hayat bateri, perkakasan membesarkan sebarang ruang di skrin
PRODUK: Bluetooth Notebook Mouse 5000
HARGA: RM169
SISTEM OPERASI: Windows VIsta, XP, 2000 dengan Service Pack 2, MacOS X v10.2.6 hingga 10.4x
PRODUK: Microsoft SideWinder Mouse
HARGA: RM299
SISTEM OPERASI: Windows VIsta, XP
CAKERA KERAS: 100MB
SAMBUNGAN: USB
KEPERLUAN: akses internet (untuk muat turun perisian)
KELEBIHAN: butang rekod makro, pemboleh ubah berat tetikus, pemboleh ubah kelajuan tetikus, LCD
PRODUK: Microsoft Mobile Memory Mouse 8000
HARGA: RM359
SISTEM OPERASI: Windows VIsta, XP, 2000 dengan Service Pack 4, MacOS X v10.2 hingga 10.4x
CAKERA KERAS: 100MB
SAMBUNGAN: USB
MEMORI: 1GB
KEPERLUAN: akses internet (untuk muat turun perisian)
KELEBIHAN: pengecas USB, 2.4GHz teknologi tanpa wayar, teknologi laser definisi tinggi
Kamera Casio ‘cili padi’ dilancarkan

TERKECIL. Dengan hanya ketebalan 15 milimeter, ketinggian 54.6 milimeter (mm) dan lebar 94.2 mm – kamera terbaru keluaran Casio, Exilim Card EX-S10 pasti memenuhi citarasa ramai.
Didatangkan dengan warna merah, biru, hitam dan perak, Exilim Card EX-S10 mempunyai tiga kali optikal zoom dan 10.1 megapiksel.
“Kamera ini pasti memenuhi citarasa pengguna yang sekarang lebih meminati kamera bersaiz kecil dengan kualiti gambar yang maksimum,” kata Pengarah Urusan DKSH Malaysia, Jack Ng di majlis pelancarannya di Kuala Lumpur semalam.
Ia turut didatangkan dengan skrin LCD 2.7 inci yang lebih kontras dan terang. Harga yang bakal ditawarkan di pasaran tempatan adalah RM 1,099.
Sensor bantu petani
| SEKTOR pertanian diyakini dapat menjadi pemangkin kepada pembangunan negara, tapi perlu mengalami satu evolusi menyeluruh berbantukan teknologi moden bagi mendapatkan hasil lebih lumayan. |
Harus disedari, selama ini petani kita terdiri daripada golongan kurang mampu yang hanya mendapat hasil dari usaha secara tradisional. Mungkin dengan sedikit bantuan jentera seperti pembajak, penuai, penyembur racun serangga dan rumput rampai.
Bantuan ICT dalam pertanian masih terlalu baru di negara ini walaupun ia sebenarnya sudah digunakan sejak 1970-an di negara lain termasuk Amerika Syarikat, Australia dan Eropah.
Tidak mustahil jika Australia boleh menjadi pengeluar beras terbesar dunia sedangkan nasi bukanlah makanan asasi masyarakatnya.
Di situlah peranan ICT membantu petani moden mengamalkan kaedah ‘pertanian tepat’ dalam erti kata petani boleh mengawal dengan baik pelbagai aktiviti berkaitan mereka seperti pembajaan, pengairan, makhluk perosak dan sebagainya.
Di Malaysia, kita dapat lihat ia masih terlalu jauh dijangkau oleh petani kurang mampu terutamanya orang Melayu yang tinggal jauh di pedalaman.
Walaupun kita tahu beberapa negeri di utara kaya dengan pengeluaran padi, timur dan selatan pula dengan getah, kelapa sawit, nanas dan banyak lagi, tapi belum cukup untuk menampung keperluan rakyat.
Negara kita masih mengimport beras, tepung, ikan, daging, buah-buahan dan sebagainya untuk menampung keperluan penduduk negara yang kini mencecah lebih 24 juta orang.
Jika bekalan cukup dan harga murah mungkin tidak berlaku sabotaj, kurang bekalan, penyeludupan dan pelbagai gejala negatif hingga membebankan orang ramai.
Kaedah mengamalkan pertanian tepat sedang dimajukan oleh Mimos Berhad iaitu cabang penyelidikan dan pembangunan (R&D) ICT utama negara.
Ia dipertanggungjawabkan ke atas Pusat Mikroelektromekanikal (MEMS) dan Mikrosistem yang dikatakan berjaya mencipta teknologi sensor tanpa wayar bagi membantu petani meningkatkan pengeluaran serta kualiti.
Sensor itu dikenali sebagai ‘Sensor tanpa wayar MEMS’ yang bukan saja boleh membantu petani mengukur kadar kelembapan, kehangatan, tahap keasidan atau kealkalian dan takat suhu tanah, malah boleh juga memberitahu tahap kesuburan tanah termasuklah mengukur kadar nitratnya, fosfat dan kalum di dalam tanah itu.
Ketua Kluster Mikro-Nano, Mimos Berhad, Profesor Dr Masuri Othman, berkata unsur ini amat penting dalam pertanian yang mana jika kita boleh tahu jumlah atau ukuran sebenar bahan yang diperlukan itu, hasilnya pasti membanggakan.
“Mimos mensasarkan untuk memperkenalkan kaedah pertanian tepat ini kepada petani, sekali gus membantu mereka meningkatkan pendapatan apabila mendapat hasil pertanian yang lumayan,” katanya.
“Kita akan memberi lebih tumpuan dan membantu petani kecil yang kurang mampu. Mungkin kita boleh fikirkan untuk membantu mereka dalam bentuk subsidi teknologi sebagaimana subsidi baja yang ada pada hari ini.”
“Kita juga akan berkerjasama dengan agensi berkaitan seperti Risda, Felda, Felcra dan Mardi kerana mereka lebih dekat dengan petani untuk membantu pengedarannya,” katanya.
Walaupun tahap pemikiran petani mungkin terkejut dengan kehadiran ICT dalam pengamalan pertanian mereka, namun Dr Masuri percaya inovasi ini dapat diterima dengan baik oleh petani hari ini dan Mimos sendiri sedang mengusahakan untuk membangunkan sebuah peralatan yang mesra pengguna.
Menurut Dr Masuri, set lengkap sensor MEMS yang dihasilkan amat kecil dari segi saiz. Hanya sebesar sebatang pen dan komponen utamanya amat kecil jika dibandingkan di hujung jari.
“Ia adalah teknologi hibrid yang menggabungkan tiga peranti sensor utama iaitu sensor, elektronik dan peranti tanpa wayar dengan beberapa teknologi lain seperti sistem maklumat geografi, pengetahuan tacit (senyap), ramalan cuaca, sistem membuat keputusan dan kawalan tindak balas,” katanya.
Kata Dr Masuri, teknologi sedia ada belum cukup membantu petani kerana kawalan yang terhad seperti untuk mengukur tahap kelembapan tanah saja bagi satu sensor. Harganya pula agak tinggi iaitu kira-kira RM3,000 sebuah, sedangkan kita memerlukan beberapa sensor untuk meliputi satu kawasan pertanian.
“Itulah antara isu yang mengekang petani hari ini. Tidak mampu untuk mengamalkan pertanian tepat. Atas alasan itulah Mimos dipertanggungjawabkan untuk membangunkan satu rumusan yang tidak membabitkan kos tinggi, tapi mampu memberi pulangan lumayan, seterusnya meningkatkan tahap sosioekonomi petani,” katanya.
Dari segi evolosi teknologi pertanian, kita berada di dalam generasi keempat dengan pengwujudan sensor bersaiz kecil, lebih praktikal, murah, memiliki pelbagai keupayaan pengesanan, serta mampu berkomunikasi secara tanpa wayar untuk memberi maklum balas kepada petani untuk tujuan pemprosesan dan kawalan.
Sensor MEMS Mimos hanya berharga RM100 sebuah dan dijangka memasuki pasaran bila-bila masa sekarang.
Sensor ini akan diletakkan di lokasi strategik di kawasan tanaman dan ia berhubungan di antara satu dengan lain menggunakan kaedah tanpa wayar, lalu menghantar maklumat ke pusat pengumpulan data juga secara tanpa wayar.
Semua maklumat itu akan diproses oleh aplikasi yang turut dihasilkan oleh Mimos dan akhirnya cadangan akan diberitahu kepada petani.
Cadangan itu mungkin seperti menambah kekerapan menyiram air disebabkan kadar kelembapan tanah kurang. Mungkin juga menambah baja nitrat akibat kandungan kurangnya kandungan nitrat di dalam tanah dan sebagainya.
Secara ringkasnya, mungkin petani akan datang hanya perlu duduk di rumah menghadap komputer peribadi atau telefon bimbit atau alat pembantu peribadi digital (PDA) bagi mendapat maklumat yang dihantar oleh unit pemprosesan pusat yang dikenali Pelayan MIMOSView mengenai langkah kawalan pertanian yang perlu diambil.
Begitulah cerdiknya sensor MEMS kerana ia dirangkumkan beberapa teknologi terkini termasuk kemampuannya membuat andaian berasaskan fungsi ‘kebijaksanaan palsu’ untuk membolehkannya memberitahu petani apa yang perlu dilakukan berdasarkan keadaan tanah ketika itu.
Menurut Dr Masuri, itulah tiga tahap penting konsep pertanian tepat terbabit iaitu rangkaian sensor, grid pengetahuan dan aplikasi yang berhubungan di atas rangkaian berasaskan protokol Internet (IP).
Walaupun nampak mudah, namun aplikasi pertanian tepat ini lengkap dengan sistem keselamatan tinggi untuk tidak memungkinkan data-data itu terlepas keluar.
Untuk menjamin tahap keberkesanan inovasi ini, Mimos menjalin kerjasama dengan beberapa universiti tempatan termasuk Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Sains Malaysia (USM).
“Dengan UPM kita akan melaksanakan konsep tanaman berasaskan inovasi ini, UKM pula kita akan melaksanakan fabrikasi sensor dan pengeluaran sensor kimia, manakala dengan USM kita bersama-sama mereka bentuk cip mikro yang mampu menggabungkan isyarat analog juga,” katanya lagi.