Islam & Teknologi

Lets explore this world together!!

adios …..

Salam sume….sibuk a lpas cuti sem nie…asyik2 ada test jer..ponin pok cik haa….

February 11, 2008 Posted by gabanrider | Tentang Aku | | No Comments Yet

Misi Nasional

Misi nasional harus direalisasikan
[]

PADA tahun ini, Malaysia meraikan 50 tahun kemerdekaan. Dalam tempoh tersebut, kita telah mencapai tahap pertumbuhan ekonomi dan pembangunan sosial yang membanggakan, dengan Keluaran Dalam Negeri Kasar benar berkembang pada kadar purata 6.3 peratus; insiden kadar kemiskinan berkurang dengan ketara daripada lebih 50 peratus kepada 5.7 peratus, sementara pendapatan perkapita telah meningkat tinggi.

Langkah dasar dan perubahan struktur yang mantap, yang dilaksanakan untuk menangani cabaran dalaman dan luar negara, telah menjadikan ekonomi negara lebih fleksibel, struktur ekonomi lebih pelbagai dan asas makroekonomi lebih kukuh.

Pendekatan yang mesra perniagaan dan pembaharuan berorientasi pasaran telah memastikan aktiviti sektor swasta terus cergas.

Di samping itu, usaha berterusan dalam penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan awam melalui peningkatan kecekapan dan integriti, membolehkan program serta projek Kerajaan dilaksanakan dengan efektif.

Pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan ini juga telah dicapai di dalam persekitaran politik yang stabil dengan pengagihan ekonomi yang seimbang dan saksama.

Melangkah ke hadapan, Misi Nasional harus direalisasikan ke arah mencapai taraf negara maju.

Misi Nasional memberi penekanan kepada lima teras iaitu meningkatkan ekonomi dalam rantaian nilai lebih tinggi, meningkatkan keupayaan pengetahuan, menangani masalah ketidakseimbangan sosioekonomi, meningkatkan kualiti hidup dan mengukuhkan keupayaan institusi dan pelaksanaan.

Pelan pembangunan dan strategi untuk pelaksanaan Misi Nasional akan memantapkan usaha ke arah Wawasan 2020.

Pada tahun 2007, ekonomi dijangka mengekalkan momentum pertumbuhan pada kadar 6.0 peratus.

Asas makroekonomi kekal teguh, disokong oleh paras inflasi dan kadar pengangguran yang rendah, tabungan yang tinggi, pasaran saham yang cergas, nilai ringgit yang semakin kukuh dan lebihan akaun semasa yang tinggi.

Pertumbuhan ekonomi negara dijangka disokong oleh semua sektor, dengan sektor perkhidmatan sebagai penyumbang utama.

Pelaksanaan program dan projek Rancangan Malaysia Kesembilan yang lebih rancak akan turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Permintaan domestik akan dipacu oleh perbelanjaan Kerajaan yang lebih tinggi, di samping peningkatan perbelanjaan swasta yang disokong oleh sentimen perbelanjaan pengguna dan keyakinan perniagaan yang lebih kukuh.

Insentif yang diperkenalkan baru-baru ini bagi merangsang sektor hartanah dan Wilayah Pembangunan Iskandar akan turut menyumbang kepada perkembangan kukuh dalam aktiviti pelaburan, dari dalam dan luar negara.

Globalisasi, liberalisasi pasaran dan persaingan yang meningkat memerlukan kita untuk bergerak pantas ke rantaian nilai yang lebih tinggi.

Kita tidak boleh terus bergantung kepada sumber asli, kos buruh yang rendah dan pertumbuhan berasaskan modal untuk memberi kelebihan daya saing.

Sebaliknya, kualiti modal insan bertambah penting dalam menentukan daya saing ekonomi Malaysia.

Pembangunan modal insan yang mantap akan menyokong pergerakan ekonomi negara dalam rantaian nilai tambah yang lebih tinggi serta menjadi pemangkin untuk pewujudan sumber pertumbuhan baru.

Kerajaan sangat komited untuk menambah baik persekitaran yang menyokong pihak swasta berkembang pesat.

Sektor swasta seharusnya memainkan peranan sebagai peneraju dalam menggerakkan ekonomi ke rantaian nilai lebih tinggi.

Usahawan seharusnya membina keupayaan dan memantapkan pengurusan untuk menghasilkan barangan dan perkhidmatan pada tahap kualiti yang terbaik.

Agenda sosial kekal sebagai komponen utama dalam penggubalan dasar ekonomi memandangkan ukuran sebenar kejayaan ekonomi ialah pencapaian taraf hidup yang lebih tinggi dan kesejahteraan yang lebih baik bagi semua lapisan rakyat.

Kerajaan komited untuk membasmi kemiskinan tegar dengan menyediakan peluang ekonomi dan perumahan mampu milik yang mencukupi.

Pada masa yang sama, pihak swasta harus lebih aktif dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat.

Hanya melalui kerjasama bersepadu antara tiga pihak, iaitu Kerajaan, sektor swasta dan rakyat akan menjamin negara kita terus makmur.

Kerajaan akan memberi penekanan berterusan kepada pembangunan ekonomi yang mapan serta perkongsian kemakmuran negara demi untuk memastikan kesejahteraan rakyat dipertingkatkan ke tahap yang lebih cemerlang.

Dato’ Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi
Menteri Kewangan

February 11, 2008 Posted by gabanrider | Uncategorized | | No Comments Yet

Buaya..Buaya…Buaya….

130 tahun masih ganas

Di tengah-tengah sebuah kawasan ladang kelapa sawit di Kota Tinggi, Johor, terdapat lebih 1,000 ekor buaya sedang dibiakkan. Ternakan reptilia itu merupakan bisnes keluarga yang diusahakan selama tiga generasi.


Diet buaya dipelbagaikan mengikut usia reptilia tersebut.



LELAKI tua berseluar pendek dan berkemeja lusuh itu melangkah ke dalam sebuah kolam berisi air hijau keruh paras betis. Sambil ramah mengalu-alukan kedatangan pelawat, dia tidak sedikit pun menunjukkan rasa gusar.

Ramai yang khuatir kerana jika berlaku sesuatu yang tidak diingini, tiada ruang untuk dia keluar dari kolam kepungan itu dengan segera, melainkan melalui sebuah pintu kecil berpagarkan kepingan papan.

“Jangan jenguk kepala lebih-lebih. Jangan nak tunjuk-tunjuk jari melepasi pagar ini kalau kalau masih nak makan guna tangan,” ujar Ng Kok Ting, 51, sambil tersengih. Dalam menahan gelak kerana mendengar kata-kata amaran itu, para pengunjung tetap berjaga-jaga.

Ini bukan ladang ternakan haiwan jinak atau petting zoo yang disambut oleh burung atau mamalia comel. Ia sebuah ladang ternakan buaya – lebih 1,000 ekor kesemuanya.

Siapa sangka, di tengah-tengah kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Belanding, Teluk Sengat di daerah Kota Tinggi, Johor tersembunyi sebuah ‘habitat’ buaya seluas satu hektar.

Sambil menjawab soalan orang ramai tentang sifat reptilia besar itu, Ng Kok Ting sempat berkongsi kisah tentang asal-usulnya. Datuknya telah berhijrah ke Malaysia dari Teochow, China ketika bapanya, Ng Chin Chew, berusia 12 tahun. Sejak itulah, bapa Kok Ting memulakan kehidupan baru di perkampungan nelayan di daerah itu.

PELAWAT gemar pada aksi buaya yang mengangakan mulut dan melibas ekor apabila diacah.



“Ketika di China, bapa saya mencari nafkah dengan membantu kerja datuk sebagai nelayan. Kemahiran tersebut ingin dia manfaatkan ketika membuat keputusan untuk bermastautin di sini,” imbasnya yang memiliki 10 orang adik-beradik.

Di China, bapa Kok Ting senang dengan kerja-kerja nelayan termasuk membantu menjual hasil tangkapan datuknya di pasar.

Katanya, idea menternak buaya bermula daripada pemerhatian bapanya di pasar tersebut. Selain bersaing dengan ramai peniaga ikan, terdapat juga peniaga yang menjual daging buaya dan ia mendapat sambutan yang menggalakkan. Dari situlah bapanya menanam azam untuk mencari tapak sesuai bagi menternak reptilia itu di Kota Tinggi.

Kini, penjagaan buaya-buaya itu menjadi tanggungjawabnya – generasi ketiga. Namun bagi Kok Ting sendiri, permulaannya sedikit terlewat. Dia memulakan ternakannya pada usia 48 tahun dengan membeli 10 ekor buaya, sementara yang lain adalah diwarisi daripada bapa dan datuknya. Daripada jumlah yang dimiliki, buaya-buaya itu dibiakkan dari semasa ke semasa.

“Penjagaan ladang ternakan ini memerlukan belanja besar sehingga ribuan ringgit sebulan. Selain penyenggaraan kawasan dan upah pekerja, saya perlukan sekurang-kurangnya tiga tan daging ayam sehari untuk makanan buaya-buaya ini.

“Buaya bersaiz sederhana sahaja perlu makan seekor ayam sebanyak tiga kali sehari,” ujar bapa kepada tiga orang anak ini.

Sempat juga Kok Ting menunjukkan aksi menarik membaling ayam ke dalam kolam. Bagai anjing yang menangkap frisbee dengan mulut, begitu juga dengan buaya-buaya yang berebut mendapatkan habuan itu.

Kok Ting biasa membawa pengunjung ke semua kolam ternakannya. Terdapat kira-kira lapan buah kolam bebas dan 30 kolam kepungan simen. Oleh kerana bilangannya terlalu banyak, tidak menjadi amalannya untuk memberi nama seperti haiwan peliharaan di rumah.

Cuma yang paling diingati adalah beberapa ekor buaya istimewa, seperti yang lahir dengan tubuh bengkok, tanpa ekor, serta yang berusia lebih sekurun.

Tiba di salah sebuah kolam simen dengan kedalaman tiga meter, Kok Ting sengaja mengacah-acah permukaan air keruh itu dengan sebatang galah sambil meminta jurugambar bersedia.

Sejurus lopak tenang itu diganggu, kami terkejut apabila seekor buaya sepanjang kira-kira lima meter mengangakan mulutnya untuk menangkap hujung galah itu. Berderap kuat bunyinya apabila rahang buaya itu berlaga.

Lantaran terus diacah, buaya yang marah diganggu itu mengeluarkan bunyi mendengus yang menggerunkan. Berkali-kali juga ia melibaskan ekor hinggakan terpercik air hanyir ke beberapa peserta lawatan. Buaya itu diberitahu berusia 130 tahun.

“Buaya ini dipelihara oleh mendiang datuk dan bapa saya dan kini saya pula menjaganya. Walau sudah tua dan banyak kehilangan gigi, ia masih ganas dan bahaya. Kalau berani masuklah ke dalam,” Kok Ting berseloroh.

“Sekali dia ‘ngap’, kekuatan tekanan rahangnya adalah kira-kira 2,500 paun. Kalau terkena, cubalah lepaskan diri!

“Buaya memang tidak kenal tuan. Beri makan hari-hari sejak kecil pun dia masih hendak gigit. Saya dan pekerja perlu sentiasa berhati-hati. Lebih-lebih lagi pada buaya betina yang sedang menjaga telur-telurnya,” terang Kok Ting tentang fitrah reptilia ganas itu.

Biarpun bilangan buaya yang banyak itu telah menukar kawasan ternakannya menjadi tumpuan pengunjung, buaya-buaya yang diternak oleh Kok Ting masih belum dapat dijual. Dia masih berharap agar permohonan lesen menjual dapat diluluskan oleh Jabatan Perhilitan.

Jika dahulu buaya-buaya ini diwarisi atas sebab minat, kini Kok Ting menyedari bahawa secara tidak langsung ladang ternaknya sudah menjadi tarikan pelancongan istimewa di Teluk Sengat.

Kalau dia tidak menjaga ‘anak-anaknya’ yang berkulit keras itu, bapa kepada tiga orang anak ini akan menghabiskan masa menguruskan operasi sebuah restoran makanan laut yang terletak tidak jauh dari ladang ternak itu.

“Walau sudah ada ramai pembantu yang boleh dipercayai, saya tetap mahu bekerja seperti biasa. Hari-hari fikir tentang kos dan tanggungan, untung dan rugi.

“Kalau saya ada di ladang ternakan ini, saya suka melayan pertanyaan pengunjung. Macam-macam yang ditanyakan. Mahu lihat buaya-buaya saya? Datanglah ke sini!”

February 11, 2008 Posted by gabanrider | Uncategorized | | No Comments Yet

Sharlinie…mana kamu?

NGO tawar RM100,000



KUALA LUMPUR – Kehilangan Sharlinie Mohd. Nashar, 5, yang masuk hari ke-33 semalam turut mendapat simpati badan bukan kerajaan (NGO) yang menawarkan ganjaran sebanyak RM100,000.

Ganjaran tersebut akan diberikan kepada sesiapa sahaja yang dapat memberi maklumat tepat sehingga tertangkapnya penculik kanak-kanak itu.

Michael Chong (dua dari kanan) memegang wang tunai RM100,000 yang ditawarkan NGO untuk pemberi maklumat Sharlinie di Kuala Lumpur semalam.



Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong yang mewakili NGO itu berkata, ganjaran itu akan diberikan kepada pemberi maklumat berdasarkan dua syarat utama.

“Syarat pertama, wang tunai RM50,000 akan diberikan setelah suspek ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah.

“Baki RM50,000 lagi akan diserahkan apabila suspek dijatuhkan hukuman,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Bagaimanapun katanya, ganjaran hasil sumbangan beberapa pertubuhan dan individu itu hanya sah sehingga 29 Februari ini sahaja.

“Sekiranya tiada yang tampil sehingga tamat tempoh, kami akan berbincang semula mengenai ganjaran tersebut,” katanya.

Jelasnya, usaha tersebut dipersetujui hasil perbincangan yang melibatkan Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Datuk William Lim, dan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, semalam.

Sharlinie yang hilang sejak 9 Januari lalu masih belum ditemui hingga ke hari ini walaupun pelbagai usaha telah dilakukan.

February 11, 2008 Posted by gabanrider | Uncategorized | | No Comments Yet

Drama Enset…

Saksikan drama di telefon bimbit

TERLALU sibuk untuk menonton televisyen? Kini berbekalkan telefon bimbit 3G, orang ramai berpeluang untuk menonton drama bersiri komedi tempatan yang mampu menghiburkan hati walau di mana mereka berada.

Ia berkat kejayaan mencatat nama dalam buku Malaysia Book of Records terhadap penghasilan drama tempatan yang ditayang pertama kalinya di layar web.

Gua.com.my (GUA) melancarkan platform mobil 3G yang membolehkan orang ramai menikmati penerbitan drama komedi tempatan bersiri, Malaysiantalents.com, menggunakan telefon bimbit.

Menurut Pengarah Urusan Bahagian Portal Alt Media Sdn. Bhd., M. Zulkifli Abdul Jalil, pelancaran tersebut merupakan hasil sambutan positif yang menggalakkan daripada umum terhadap paparan drama singkat bersiri Kerana Karina yang boleh ditonton di laman web gua.com.my.

‘‘Sambutan yang memberangsangkan daripada 834,000 penonton secara tidak langsung membuatkan kami untuk mengambil inisiatif untuk melebarkan lagi cabang hiburan dengan memaparkan siri komedi Malaysiantalents.com melalui telefon bimbit,’’ katanya.

Malaysiantalents.com yang merupakan drama komedi singkat selama empat minit dipaparkan selama 15 episod. Ia dibintangi oleh barisan pelakon yang tidak asing lagi seperti Elaine Daly, Gavin Yap, Nell Ng dan Hansen Lee.

Dalam pada itu, orang ramai berpeluang untuk menyaksikan telatah lucu barisan pelakon Malaysiantalents.com dengan mendail *32223 dan seterusnya membuat panggilan video.

Selain itu, GUA juga turut mempaparkan siri Muung, Babe Bits dan Senario@GUA pada kandungan rancangan untuk tontonan umum pada bila-bila masa dan di mana sahaja.

Pada ketika ini, setiap panggilan akan dikenakan caj sebanyak 30 sen seminit dan hanya boleh dilayari oleh pelanggan Maxis sahaja.

February 11, 2008 Posted by gabanrider | Uncategorized | | No Comments Yet

Jam Tangan TV…ada kerrr?

Jam tangan televisyen

JAM tangan televisyen.



KINI tidak ramai orang yang memakai jam tangan memandangkan telefon bimbit boleh bukan saja mempunyai jam tetapi boleh menyimpan pelbagai maklumat di dalamnya.

Tetapi beberapa penyelidik di sebuah syarikat Chinavision telah cuba memikat pelanggan dengan menambah beberapa ciri jam tangan.

Jam yang dilengkapi dengan skrin LCD bersaiz 1.8 inci serta fail MP3, WMA WAV serta boleh mengubah video MTV bagi tontonan pengguna.

Bukan itu saja, jam yang dilengkapi dengan memori 2GB ini boleh menyimpan fail gambar dalam bentuk JPEG.

Selain itu terdapat perakam suara, pembesar suara, radio FM dan fon kepala 3.5 milimeter.

Dengan pelbagai ciri tambahan, mungkinkah jam tangan ini akan mendapat tempat di kalangan pengguna?

February 11, 2008 Posted by gabanrider | Uncategorized | | No Comments Yet

Lokasi x dijumpai??..Gunalah HTC

Cari lokasi guna HTC Touch Cruise

PENGURUS HTC Malaysia (M), SK Wong (kiri) bersama Pengarah urusan HTC (M), Frank Teh (kanan) ketika melancarkan model terbaru HTC di Kuala Lumpur, baru-baru ini.



KURANG arif tentang selok belok jalan raya mahupun kawasan yang belum pernah dituju, akan timbul sekiranya anda berada di luar negara ataupun mempunyai masalah untuk mengingati arah ke lokasi yang perlu dituju.

Kini HTC memperkenalkan model terbaru rangkaian gajet pembantu peribadi digitalnya (PDA), HTC Touch Cruise yang didatangi dengan kemudahan GPS terbina berupaya untuk bertindak sebagai penunjuk arah yang efisien.

Berbekalkan sistem navigasi GPS yang dipacu dengan sokongan perisian MapKing R12, pengguna mampu untuk pergi ke destinasi yang diingini dengan cepat, mudah dan tepat.

Menurut Naib Presiden HTC Asia, Jack Tong, model Touch Cruise tersebut membuka dimensi baru kepada HTC dalam menerapkan teknologi GPS bersepadu untuk panduan navigasi persendirian selain dilengkapi dengan ciri-ciri menarik dan merupakan PDA ketiga bagi rangkaian model HTC Touch.

‘‘Model tersebut bertujuan untuk memenuhi permintaan pengguna yang kini mempunyai pelbagai cita rasa dan kehendak yang berlainan,’’ katanya.

Masih mengekalkan keunikan reka bentuk gajet terkini berwarna hitam, HTC Touch Cruise bagaimanapun tampil dengan kemudahan pengendalian menggunakan papan kekunci dan sentuhan pada skrin mengikut keperluan.

Kepuasan

Ia sekali gus memberikan lebih pilihan dan kepuasan kepada pengguna sama ada untuk mengoperasikan gajet itu menerusi papan kekunci seperti telefon bimbit biasa atau menggunakan kayu ria di atas layar skrin sesentuhnya.

Model PDA terbaru itu turut dilengkapkan dengan teknologi mobiliti yang lebih tinggi antaranya menyokong jaringan 3.5G.

Sama seperti HTC Touch Dual, ia juga katanya merupakan antara gajet yang dipacu oleh sistem operasi terbaru untuk peranti bergerak daripada Microsoft iaitu Windows Mobile 6 Profesional dengan kelebihan pelbagai aplikasi pejabat terkini.

Gabungan jaringan 3.5G dan sistem operasi Microsoft ini membolehkan pengguna sentiasa berhubungan dengan dunia maya dengan pantas dan pada bila-bila masa sesuai dengan keperluan kepantasan bekerja golongan eksekutif dan profesional.

Penggunaan teknologi TouchFlo memang tidak asing bagi rangkaian HTC Touch sekali gus menjanjikan pengendalian optimum menyeluruh terhadap aplikasi-aplikasi dalam gajet tersebut dengan mudah dan pantas.

Secara tidak langsung, TouchFlo memudahkan pengguna untuk melihat dan memfokus hasil rakaman foto yang diambil melalui kamera 3.0 mega piksel yang disediakan selain didatangi dengan kemudahan auto fokus.

Model tersebut juga didatangi dengan teknologi HSDPA, Wi-Fi dan sambungan Bluetooth yang menjanjikan sambungan pantas kepada pengguna dalam menonton video dan mendengar muzik melalui Windows Media Player yang terbina dalam.

Harga permulaan yang ditawarkan bagi model tersebut adalah pada RM2,799 dan model tersebut boleh didapati di pasaran pada awal Februari.

Maklumat lanjut dan spesifikasi lengkap boleh didapati dengan melayari laman web www.htc.com.

February 11, 2008 Posted by gabanrider | Uncategorized | | No Comments Yet

Bulan Safar menjelma….

Masyarakat Arab zaman jahiliah memang terkenal dengan mengerjakan amalan-amalan yang bercanggah dengan syarak. Perjalanan kehidupan seharian mereka sentiasa dibayangi oleh amalan-amalan syirik, tahyul dan khurafat.

Contohnya, jika mereka ingin memulakan sesuatu perjalanan, mereka akan melihat gerakan-gerakan sesetengah jenis binatang seperti burung mahupun busur panah yang dilepaskan sama ada ke kiri atau ke kanan.

Mereka beranggapan arah gerakan tersebut boleh mempengaruhi keburukan atau kebaikan yang mungkin dihadapi dalam perjalanan tersebut. Sekiranya pada tanggapan mereka gerakan tersebut menunjukkan alamat yang tidak baik maka mereka membatalkan hasrat untuk meneruskan perjalanan tersebut. Perkara sebegini disebutkan tathayyur atau meramalkan sesuatu kejadian yang buruk disebabkan oleh sesuatu perkara.

Islam menyelar budaya tathayyur dan menganggap ia perbuatan yang mencemar kemurnian tauhid.

Islam meletakkan kejadian sesuatu perkara itu bergantung kepada kehendak dan kekuasaan Allah semata-mata. Firman-Nya: Katakanlah (wahai Muhammad): “Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal”. (al-Taubah: 51)

Menyandarkan sesuatu musibah bakal menimpa kerana sesuatu perkara seperti gerakan binatang, kedudukan bintang, waktu atau masa tertentu dan lain-lain adalah perbuatan yang tercela kerana segala sesuatu itu ditetapkan oleh Allah tanpa ada faktor lain yang mempengaruhi keputusan-Nya.

Firman Allah s.w.t., Ketahuilah, sesungguhnya nahas dan malang mereka itu hanya ditetapkan di sisi Allah, akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui. (al-A’raaf: 131)

Oleh itu, sesiapa yang membuat keputusan berdasarkan tathayyur maka dia terjebak ke lembah kesyirikan.

Daripada Abdullah ibnu Umar r.a dia berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Barang siapa yang menangguhkan hajatnya kerana al-Thayrah (ramalan buruk kerana sesuatu) maka dia telah berbuat syirik”. (riwayat Imam Ahmad, no: 6748)

Namun apa yang menyedihkan setiap kali ketibaan bulan Safar, budaya jahiliah yang diperangi oleh Islam ini seakan-akan muncul semula. Safar bermaksud kosong atau meninggalkan sesuatu tempat.

Penamaan bulan yang kedua ini sebagai Safar adalah kerana kebiasaan orang Arab meninggalkan rumah mereka pada bulan ini untuk memerangi musuh-musuh dan mereka juga suka mengembara pada bulan ini. Kebanyakan orang Arab jahiliah beranggapan terdapat kesialan pada bulan Safar ini. Ternyata pemikiran jahiliah ini masih diwarisi oleh segelintir kecil umat Islam zaman ini akibat lemahnya keimanan dalam jiwa dan kejahilan mereka terhadap ilmu tauhid.

Mereka beranggapan bulan Safar adalah bulan di mana Allah menurunkan kemarahan dan hukuman ke atas dunia. Oleh itu banyak musibah dan bencana terjadi pada bulan Safar khususnya pada Rabu minggu terakhir.

Sesetengah umat Islam menghindarkan diri daripada bermusafir pada bulan Safar melainkan terdapat keperluan yang mendesak. Sebagai contoh, dalam kitab al-Futuhat al-Haqqaniy, penulis kitabnya memilih menahan diri keluar berjalan pada bulan ini dan menasihati semua pengikut tarekat mereka tidak meninggalkan rumah melainkan jika benar-benar perlu.

Dalam kitab tersebut dikhabarkan bahawa Sheikh tarekat mereka iaitu Abdullah Faiz Daghestani berkata: “Pada hari Rabu terakhir bulan Safar, 70,000 penderitaan (bala) akan menimpa dunia. Barang siapa yang mengekalkan adab ini yang disebut (beberapa amalan yang tertentu), dia akan dilindungi oleh Allah yang Maha Kuasa”.

Bagi segelintir masyarakat Melayu pula mengelak mengadakan majlis perkahwinan pada bulan Safar kerana dipercayai jodoh pasangan pengantin itu tidak kekal dan kelak akan susah untuk mendapatkan zuriat.

Ada juga yang beranggapan bayi yang lahir pada bulan Safar bernasib malang dan hendaklah dijalankan satu upacara khas untuk membuang nasib malang tersebut. Kesemua ini merupakan perkara-perkara tahyul dan khurafat yang harus dibanteras sehingga ke akar umbi.

Hayatilah firman-Nya, Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah…. (al-Taghaabun: 11)

Lantaran itu beberapa amalan bidaah dicipta sempena bulan Safar bertujuan menghindari sebarang bentuk malapetaka yang berkaitan dengan kedatangan bulan tersebut.

lMandi safar

Orang Melayu satu ketika dahulu mengamalkan mandi safar atau mandi beramai-ramai di sungai mahupun pantai yang dianggap sebagai satu ritual menolak bala pada bulan Safar serta menghapuskan dosa.

Orang Melayu berarak ke destinasi terpilih diiringi alunan muzik, nyanyian, jampi serapah dan alunan zikir tertentu. Setelah itu mereka membaca jampi atau menulis ayat-ayat tertentu di atas kertas lalu memasukkannya ke dalam bekas berisi air dan mandi dengannya.

Sebenarnya amalan mandi safar ini diwarisi daripada budaya Hindu. Walaupun pengamalannya semakin terhakis dalam umat Melayu, masih ada yang melakukan pembaharuan dalam upacara ini. Mereka menganjurkan penulisan ayat-ayat tertentu di atas kertas atau papan dan direndam dalam kolah ataupun tangki berisi air untuk seluruh ahli keluarga mandi dengannya.

Keberkatan

Syaikh Muhammad Abdussalam al-Syaqiry r.h berkata: “Orang-orang awam biasa menulis ayat-ayat tertentu tentang keselamatan di atas kertas, misalnya ayat: Salaamun ‘ala Nuuh fi ‘aalamiin. (al-Saafaat: 79)

Maksudnya, “Salam sejahtera kepada Nabi Nuh dalam kalangan penduduk seluruh alam” pada hari Rabu terakhir bulan Safar, kemudian meletakkannya di dalam bekas (berisi air) untuk diminum airnya bagi mencari keberkatan kerana mereka berkeyakinan bahawa ini akan menghilangkan nasib buruk.

Ini adalah keyakinan yang sama sekali salah dan harus ditentang. Rujuk al-Sunnan wa al-Mubtada’aat al-Muta’alliqahbi al-Adzkaar wa al-Shalawaat karya Sheikh Muhammad Abdussalam al-Syaqiry, edisi terjemahan dengan tajuk Bidaah-Bidaah Yang Dianggap Sunah, Qisthi Press, Jakarta (2004), ms. 149.

Upacara yang disebut oleh beliau ini biasanya dikerjakan di masjid di antara solat Maghrib dan Isyak pada Rabu terakhir bulan Safar.

lSolat sunat

Pada hari Rabu terakhir bulan Safar kononnya disunatkan solat sunat empat rakaat. Waktu mengerjakannya adalah setelah terbit matahari dan sebelum waktu Zuhur.

Pada setiap rakaat hendaklah dibaca surah al-Fatihah (sekali), surah al-Kautsar (17 kali), al-Ikhlas (lima kali), Surah al-Falaq dan al-Naas (sekali) dengan dikerjakan dengan hanya satu tahiyat.

Setelah selesai solat ini hendaklah membaca doa berikut: “Ya Allah yang Maha Perkasa lagi Maha Mulia, wahai zat yang kerana kemuliaan-Mu semua makhluk-Mu menjadi hina. Jauhkan aku dari kejahatan makhluk-Mu. Wahai zat yang Maha Baik, Indah dan Mulia, wahai Pemberi Nikmat dan Kemuliaan, wahai Zat yang tiada Tuhan kecuali Engkau, kasihanilah aku dengan rahmat-Mu wahai zat yang Maha Pengasih. Ya Allah dengan rahsia Hassan, saudaranya, ayah, ibu dan keturunannya, jauhkan aku dari kejahatan hari ini dan apa turun pada hari ini, wahai zat yang memenuhi segala keperluan dan penolak segala bencana. Semoga Allah menjauhkannya kerana Dia yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Semoga selawat dan salam tetap terlimpahkan kepada Muhammad, keluarga dan seluruh sahabatnya”.

Doa ini bersumber dari Risalah Rawi al-Dzam’an fi Fadhaail al-Asyhur al-Ayyam, ms. 4. Penulis nukil dari kitab al-Bida’ al-Hauliyyah karya Abdullah bin Abdul Aziz al-Tuwaijiry, edisi terjemahan dengan tajuk Ritual Bidaah Dalam Setahun, Darul Falah, Jakarta (2003), ms. 139

Nyata tidak ada dalil yang sah menunjukkan solat serta bacaan doa tersebut disunatkan. Apatah dalam doa tersebut terdapat lafaz-lafaz tawassul yang dilarang oleh syarak iaitu menjadikan Hassan (r.a), Hussain (r.a), Ali (r.a), Fatimah (r.a) serta keturunan mereka sebagai perantara dalam berdoa.

Allah s.w.t. memerintahkan hamba-Nya berdoa secara terus kepada-Nya sebagaimana firman-Nya, Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. (al-Ghaafir: 60)

lBacaan surah dan zikir tertentu

Dalam buku al-Futuhat al-Haqqaniy pengikut tarekat tersebut diajar amalan tertentu untuk hari Rabu terakhir bulan Safar bertujuan menolak bala. Di antara amalannya adalah membaca kalimah syahadah tiga kali, beristighfar (300 kali), membaca ayat al-Kursi dan suraf al-Fiil (tujuh kali) dan dihadiahkan kepada diri sendiri dan juga ahli keluarga.

lMemberi sedekah

Kononnya dianjurkan untuk memperbanyakkan sedekah pada bulan Safar bertujuan menjauhkan diri daripada penderitaan dan nasib malang.

lBerkorban

Terdapat juga segelintir pihak yang beranggapan dianjur mengerjakan ibadah korban pada tarikh 27 Safar.

Kesemua amalan yang dikhususkan sempena bulan Safar di atas tidak pernah diperintah oleh Rasulullah s.a.w. dan tiada seorang sahabat mahupun para al-Salafussoleh yang mengamalkannya.

Sabda Rasulullah s.a.w., Barang siapa yang mengada-adakan di dalam urusan kami (iaitu di dalam perkara berkaitan agama) apa-apa yang tidak ada padanya, maka tertolaklah ia. (riwayat Imam al-Bukhari, no: 2697)

February 11, 2008 Posted by gabanrider | Uncategorized | | No Comments Yet