Islam & Teknologi

Lets explore this world together!!

asyik2 PC….best kerr?

PC hibrid dinamik


POWERMATE P3020 menyasarkan pengalaman hiburan rumah digital yang mengagumkan.


SETELAH berjaya mengeluarkan komputer peribadi (PC) hibrid POWERMATE P5000, NEC Computers (NEC) kali ini tampil dengan komputer peribadi hibrid POWERMATE P3020 yang turut menekankan keupayaan multimedia. Komputer semua dalam satu ini menyatukan teknologi sofistikated dan gaya hidup penuh bergaya ke dalam hiburan audio-video rumah.

POWERMATE P3020 menyasarkan pengalaman hiburan rumah digital yang mengagumkan. Dengan kemasan berwarna putih dan sentuhan elegan, ia dicipta seperti sebahagian perabot rumah dengan rekaan dinamik yang menjanjikan keselesaan.

Untuk prestasi yang lebih baik, P3020 dikuasakan dengan AMD Athlon 64 X2 Dual-Core Processor TK-57 dan menawarkan pengalaman berkomputer berkelajuan tinggi 1.9GHz.

P3020 mempunyai skrin LCD lebar 15.4 inci Dual Lamp dengan teknologi Super Shine View EX NEC yang menjadi pemangkin kepada keseronokan maksimum tontonan berkualiti imej TV.

Dengan rekaan uniknya dan berkonsepkan penjimatan ruang, gajet ini turut mempunyai ruang menyimpan alat tulis, butang kekunci untuk akses internet segera, pembaca kad 13 dalam 1 untuk pemindahan storan media yang pantas dan slot unik pemacu DVD RW.

REKAAN dinamik yang mudah alih.



Mempunyai berat sebanyak 3.9 kilogram dan dioperasikan hanya menerusi satu kabel kuasa, ia merupakan PC yang dicipta khas untuk mudah dialihkan di rumah. Papan kekunci tanpa wayarnya dilengkapi dengan tetikus joystick yang boleh dioperasikan kira-kira 10 meter.

Tetikus optiknya juga diperbaharui dengan ciri baru yang mempunyai keupayaan untuk zoom kepada pelbagai bahagian dalam sebuah laman web atau dokumen dengan hanya melakukan klik mudah pada butangnya. Menerusi perisian penyuntingan video yang mudah, pengguna sendiri boleh menjadi pengarah untuk menghasilkan video.

Selain kebolehan cas POWER ‘OFF’ USB yang membolehkan peranti dicas ketika sistem dimatikan, P3020 juga dilengkapi dengan ciri mod malam yang membolehkan pencinta muzik terlena dengan not-not nada yang harmoni.

POWERMATE P3020 kini boleh didapati di pasaran pada harga RM3,299.

April 11, 2008 Posted by | Uncategorized | 1 Comment

penggemar Laptop…

Vostro dilengkapi memori 4 GB

Vostro 1200 menampilkan papan kekunci bersaiz besar bagi pengendalian optimum.



TIDAK dapat disangkal lagi ciri rekaan kecil, kompak dan ringan menjadi elemen utama dalam penghasilan komputer riba hari ini. Justeru itu, Dell Inc. telah mengambil inisiatif bagi melancarkan model komputer rekaan kompaknya model Vostro 1200.

Vostro 1200 yang hanya mempunyai ukuran sebesar 12 inci itu menjanjikan prestasi tinggi, tahan lasak, tahap mobiliti yang tinggi selain dilengkapi ciri keselamatan terkini.

Dipacu melalui sistem pemprosesan Intel dual-core, ia akan mempercepatkan proses penggunaan aplikasi dan perisian.

Walaupun mempunyai rekaan yang kompak, model tersebut masih memaparkan skrin paparan yang luas sekali gus mengekalkan keselesaan dari segi penglihatan kepada pengguna.

Menerusi rekaan kompak dan kecil Vostro 1200 itu secara tidak langsung ia mampu memenuhi kriteria pengguna yang sentiasa sibuk dan bergerak kerana ia mudah di bawa ke mana-mana.

Dalam pada itu, model tersebut yang dilengkapi dengan kemudahan sambungan Wi-Fi 802.11n pasti menjanjikan sambungan Internet yang pantas kepada pengguna.

Selain itu, model tersebut juga hadir dengan kemudahan memori sebesar 4GB khusus untuk menyokong aplikasi-aplikasi bersaiz besar.

Namun, dalam memastikan ia dilengkapi pelbagai ciri tambahan, komputer ini dilengkapi juga dengan kamera web bersaiz 2 megapiksel dan kemudahan sambungan Bluetooth 2.0.

Dari segi keselamatan pula, pengguna juga boleh mendapatkan alat keselamatan biometrik yang menampilkan alat pengesan cap jari sebagai aksesori tambahan.

Alat pengesan cap jari ini dikatakan melindungi komputer daripada diakses oleh pihak lain sekali gus melindungi data sulit. Kini, model tersebut boleh didapati di pasaran dengan harga runcit RM1,999.

Maklumat dan spesifikasi lengkap boleh didapati dengan melayari laman web www.dell.com.

April 11, 2008 Posted by | Uncategorized | Leave a Comment

METANA..

Metana di luar sistem solar


GAMBARAN artis betapa hampirnya planet HD 189733b dengan bintang (matahari) yang diorbitnya.


BUAT pertama kalinya, ahli astronomi telah mengesan sejenis molekul organik yang memainkan peranan penting dalam pembentukan hidupan di planet yang terletak di luar sistem solar.

Molekul metana itu telah dikesan oleh Teleskop Angkasa Hubble pada atmosfera planet HD 189733b yang bersaiz seperti Musytari.

Dalam keadaan sebenar, metana boleh memainkan peranan utama dalam kimia pembentukan hidupan atau prabiotik.

“Ini merupakan langkah utama kepada penghasilan molekul prabiotik pada planet yang boleh menerima hidupan,” kata Mark Swain dari NASA yang mengetuai kumpulan yang membuat penemuan ini.

Sebuah laporan tentang penemuan tersebut telah diterbitkan dalam jurnal Nature baru-baru ini.

Penemuan tersebut berlaku selepas pemerhatian ekstensif yang dibuat pada Mei 2007 dengan kamera inframerah berdekatan Hubble dan aneka objek spectrometer (NICMOS).

Planet tersebut amat berhampiran dengan bintang (matahari)nya yang mana hanya mengambil masa dua hari untuk mengelilingi orbit dan HD 189733b dengan kepanasan 900 darjah celsius iaitu takat lebur perak.

Metana yang mengandungi karbon dan hidrogen merupakan salah satu daripada komponen utama gas asli, sebuah produk petroleum.

Ia dihasilkan oleh sumber semula jadi seperti serangga, lautan dan persekitaran yang basah termasuk sumber yang dihasilkan manusia seperti bahan buangan di kawasan pelupusan sampah.

April 11, 2008 Posted by | Uncategorized | Leave a Comment

kunci KAABAH…

Kunci Kaabah 1,200 tahun dilelong RM57 juta


KUNCI Kaabah berusia 1,200 tahun berjaya dijual pada harga RM57 juta di London semalam.


LONDON – Satu kunci pintu Kaabah berusia 12 abad semalam berjaya dilelong pada harga £9.2 juta (RM57.24 juta) sekali gus mencatatkan rekod sebagai hasil seni Islam paling mahal pernah dijual.

Kunci tersebut diperbuat daripada besi demgan ukuran 37 sentimeter panjang dilelong di sebuah rumah lelongan di London, Britain.

Harga kunci itu adalah 18 kali lebih tinggi daripada harga yang jangkaan awal dan dibeli oleh seorang pembida yang enggan dikenali.

Kunci kepada tempat paling suci kepada umat Islam itu merupakan salah satu yang masih berada dalam simpanan peribadi.

Kunci itu juga mempunyai ukiran yang tertulis: “Kunci ini diperbuat untuk rumah suci Tuhan ketika era pemerintah kami Imam anak kepada Imam al-Muqtadi Abu Ja’far al-Mustansir Abu’l-Abbas 573″.

Lelongan kunci itu merupakan kemuncak kepada satu lelongan untuk hasil seni Islam yang berjaya mencapai jualan berjumlah £21.5 juta (RM133.77 juta) melebihi jangkaan awal jualan £13.1 juta (RM81.51 juta). – Reuters

April 11, 2008 Posted by | Uncategorized | Leave a Comment

besarkan suara

Pembesar suara bola ragbi

PEMBESAR suara berbentuk bola ragbi ini diperkenalkan di Jepun baru-baru ini.



SYARIKAT elektronik gergasi Jepun, Hitachi menerusi subsidiarinya, Hitachi Maxell telah memperkenalkan pembesar suara berbentuk bola ragbi MXSP-4000.TD baru-baru ini.

Pembesar suara yang disertakan dengan tempat meletakkan iPod itu diperkenalkan di sebuah majlis tahunan di Yokohama.

Sistem pembesar suara yang unik menggunakan teknologi TimeDomain ini dibangunkan oleh pengkaji Jepun, Hiroyuki Yoshii. Pembesar suara itu menghasilkan bunyi yang lebih jelas dan bertenaga.

March 3, 2008 Posted by | Uncategorized | Leave a Comment

amfibia jdi kereta…

Kereta amfibia pertama


KERETA sQuba boleh memasuki air sehingga kedalaman 9.1 meter.




SEBELUM ini, ia cuma dalam filem. Sebuah kereta amfibia yang boleh dipandu di darat dan di dalam air seperti dalam filem James Bond, The Spy Who Loved Me. Tetapi, kini sebuah syarikat Switzerland merealisasikannya.

Dinamakan sQuba, kereta berkenaan dibangunkan oleh pereka Switzerland, Rinspeed Inc. dan ia dijangka akan ‘mengejutkan’ ramai apabila membuat kemunculan di Geneva Auto Show pada bulan depan.

Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu, Frank Rinderknecht yang mengakui sebagai peminat Bond berkata, dia telah menanti selama 30 tahun untuk ‘membina semula’ kereta yang pernah digunakan oleh aktor, Roger Moore itu.

Kereta sQuba boleh membawa anda masuk ke dalam air sehingga kedalaman 30 kaki (9.1 meter). Bagaimanapun, anda perlu mengenakan baju basah.

Kereta itu dibina dengan bahagian atas yang terbuka sekali gus membawa makna pengguna tidak akan terlepas daripada dibasahkan.

“Untuk tujuan keselamatan, kami telah membinanya sebagai kenderaan terbuka maka pengguna kenderaan ini boleh menyelamatkan diri dengan pantas jika berlaku kecemasan,” kata Rinderknecht.

Penumpang akan boleh bernafas di dalam air menerusi sebuah tangki mampatan udara integrasi sama seperti yang digunakan dalam selaman skuba.

Kelajuan maksimum sQuba di daratan adalah kira-kira 124 kilometer sejam dan kelajuan akan berkurangan sehingga lima kilometer sejam di permukaan air dan berkelajuan tiga kilometer sejam di dalam air.

Bekerja dengan pakar kejuruteraan, Rinspeed Inc. mengubah penggunaan enjin kebuk pembakar dari sebuah kereta sport kepada beberapa motor elektrik. Tiga enjin diletakkan di belakang kereta dengan satu menyediakan rejang pemanduan di daratan dan dua lagi untuk pemanduan di dalam air.

“Kami selalu mahu menghasilkan kereta yang melampaui batasan, yang mana tidak ada sesiapa pernah melakukannya. Jadi, kami fikir, ayuh bina kereta menyelam!” kata Rinderknecht.


sQUBA boleh mencapai kelajuan sehingga 124 kilometer sejam.




Rekaan dalamannya direka tahan air masin, lalu membolehkan ia dipandu di dalam tasik ataupun laut.

Rinspeed Inc. kini masih dalam diskusi dengan pembuat-pembuat kereta komersial untuk menghasilkan sQuba pada bilangan terhad.

March 3, 2008 Posted by | Uncategorized | Leave a Comment

Streamyx…new package offer

Pakej menarik Streamyx

PEMAIN MP3 U3 Samsung diberikan untuk mereka yang mengambil pakej RM66 sebulan.



Pelanggan-pelanggan baru yang melanggani perkhidmatan Streamyx 512Kbps masih berkesempatan mendapat lebih nilai melalui promosi Streamyx-Samsung selepasTelekom Malaysia Berhad (TM) melanjutkan tempoh promosi tersebut sehingga 31 Mac ini.

Kerjasama antara TM dengan Samsung (M) Electronics menawarkan Pemain MP3 atau Pemain Video MP3 Samsung edisi khas secara percuma.

Ketua Pegawai Operasi, TM Retail, Malaysia Business, TM, Datuk Adnan Rofiee, berkata, sejak promosi tersebut diperkenalkan, pihaknya menerima respons yang amat positif dan menggalakkan daripada pelanggan-pelanggan.

‘‘Selain itu, kemudahan Skim Bayaran Ansuran Mudah ini bersesuaian bagi mereka yang inginkan fleksibiliti dan lebih nilai melalui langganan mereka.

‘‘Pemain MP3 atau Video MP3 Samsung yang ditawarkan melalui program ini membuktikan ia adalah peranti yang amat popular di kalangan pelanggan-pelanggan kami yang turut mendapat pelbagai manfaat diperoleh dari perkhidmatan Streamyx,” katanya dalam kenyataan akhbar.

Tempoh minimum langganan pakej ini adalah 18 bulan. Sebarang perubahan kepada pakej langganan Streamyx tersebut tidak dibenarkan dalam tempoh langganan minimum ini.

Bagi melayakkan diri bagi Skim Bayaran Mudah tanpa faedah itu pelanggan mestilah pemegang kad kredit sah (Visa atau Mastercard) daripada bank-bank yang mengambil bahagian termasuk AmBank, Public Bank, MBF Cards, UOB Bank, Maybank, Kad MBF, Public Bank, RHB Bank dan UOB Bank.

Adnan berharap, melalui lanjutan tempoh promosi Streamyx-Samsung ini, lebih ramai pelanggan akan mengambil peluang untuk melanggani pakej ini dan pada masa yang sama mula meraih faedah dari penggunaan perkhidmatan jalur lebar dan seterusnya menikmati gaya hidup digital.”

Pengguna boleh mendaftar untuk promosi Streamyx-Samsung ini di mana-mana cawangan TMpoint di seluruh negara, Clickers Authorised Service Outlets (CASO) atau wakil penjual TM yang sah.

Untuk maklumat lanjut berkenaan produk dan perkhidmatan TM, hubungi 100 atau layari www.tm.com.my.

March 3, 2008 Posted by | Uncategorized | Leave a Comment

Peranti superkomputer


VIPRION mencatatkan prestasi peringkat tinggi empat kali lebih baik daripada mana-mana produk pesaing di pasaran.



F5 Networks, pemimpin global dalam rangkaian pembekalan aplikasi memperkenalkan sistem perkakasan casis berbilah modular serba baru yang dinamakan Viprion.

Perkakas ini merupakan pengawal pembekalan aplikasi (ADC) pertama dalam industri yang disepadukan lancar dalam perniagaan organisasi. Viprion membolehkan sesebuah organisasi melaksanakan rangkaian pembekalan aplikasi (ADN).

Penyelesaian ini boleh dilaksanakan dengan satu atau dua bilah dan boleh diperluaskan. Sama ada menggunakan satu atau empat bilah, Viprion dilihat sebagai satu peranti kepada pengguna, aplikasi dan pentadbir bagi membolehkan organisasi menskala infrastruktur masing-masing sambil menjamin kos pengurusan tetap.

Dengan Viprio, F5 akan menambahkan tawaran produk landasan ADC sebagai pelengkap kepada rangkaian produk BIG-IP®. Tiada penyelesaian ADC lain di pasaran boleh menandingi ciri dan prestasi penskalaan ini.

Dengan daya pemprosesan 36G daripada L7 dan 200,000 urusan SSL sesaat, Viprion mencatatkan prestasi peringkat tinggi empat kali lebih baik daripada mana-mana produk pesaing di pasaran.

“Dari segi skala dan pelaksanaan infrastruktur pembekalan aplikasi, mungkin terdapat terlalu banyak alat mudah alih untuk menjalankan tugas kritikal dengan cekap dan berkesan,” kata Ivan Wen, Pengurus Negara bagi F5 Networks Malaysia.

“Oleh itu, banyak organisasi terus mendapatkan teknologi baru dan tenaga pekerja tetapi strategi ini menelan belanja besar dan menghasilkan pulangan yang berkurangan dalam jangka panjang.”

Dengan Viprion, F5 mengatasi segala masalah ini dengan menggabungkan fungsi keselamatan dan rangkaian, kuasa pemprosesan, pengimbang muatan dan perkhidmatan pembekalan aplikasi dalam satu casis yang dikongsi dan boleh diskala. Viprion menandakan satu kemajuan besar lalu mencipta kategori ‘superkomputer’ ADC baru yang sukar ditandingi oleh pembekal lain.

Pelanggan perusahaan dan pembekal perkhidmatan boleh membina infrastruktur aplikasi lancar yang lebih mudah. Keupayaan dan kuasa pemprosesan tambahan boleh digabungkan pada bila-bila masa tanpa gangguan dan menyediakan ciri boleh skala untuk membolehkan sesebuah organisasi menyusun strategi pertumbuhan mampan.

Ciri-ciri utama sistem Viprion:

* Meningkatkan kapasiti tanpa gangguan. Berbeza daripada komponen bilah dan casis vendor lain, Viprion kekal sebagai alat rangkaian bersepadu tidak kira bilangan bilah yang ditambah. Ciri bersepadu dan fleksibiliti peralatan ini memudahkan pengurusan kerana infrastruktur yang lebih ringkas memberi organisasi tahap kebolehpercayaan rangkaian dan kawalan lebih ketat terhadap kos operasi. Syarikat perusahaan yang memerlukan kuasa pemprosesan lebih besar boleh menambah satu lagi bilah pada unit sedia tanpa menggunakan peranti berasingan.

* Mencapai tahap kebolehpercayaan unggul. Viprion menawarkan tahap ketersediaan dua peringkat di peringkat bilah dan casis. Sebarang kerja naik taraf kapasiti atau kegagalan komponen perkakas tidak akan menjejaskan pembekalan aplikasi. Dalam sistem Viprion dengan berbilang bilah, jika sesebuah bilah gagal, bilah lain dalam casis boleh mengambil alih sistem pemprosesan tanpa sebarang gangguan.

February 19, 2008 Posted by | Uncategorized | Leave a Comment

gilerrr….kamera hapa nii?

Kompak, nipis, kecil




DIKENALI dengan ciri weatherproof bertaraf dunia pada kamera digital siri m (mju) nya, Olympus menandakan hala tuju baru apabila tampil dengan kamera bernilai estetika setaraf dengan cirinya. Kamera m1010 yang didatangkan dalam bentuk nipis ini boleh didapati dalam dua varian iaitu warna perak dan hitam.

Lensa berteknologi prestasi tinggi DSA itu dibangunkan menggunakan teknologi ulung Olympus, membolehkan kamera yang setebal 25.2 milimeter dan seberat 135 gram itu dengan keupayaan zoom yang hebat. Model ini juga menawarkan pengimejan yang jelas dan berkontras tinggi.

Bahkan, ia diletakkan sebagai satu-satunya kamera kompak, nipis dan kecil dalam dunia hari ini yang menawarkan keupayaan tujuh kali zoom optikal, sekali gus memberikan keseronokan mengambil gambar pada jarak dekat.

Kamera ini memiliki sehingga 10.1 megapiksel dengan kebolehan tahan tekanan air pada kedalaman 40 meter. Ia mula dijual bulan ini pada kadar harga RM1,199.

February 19, 2008 Posted by | Uncategorized | Leave a Comment

Kamera video lima mikrofon




KAMERA video HDC-DX1 dari Panasonic ini mampu merakam gambar dengan cantik beserta perincian imej berdefinisi tinggi. Ia juga merupakan salah satu daripada kamera video Panasonic yang memiliki sistem bunyi persekitaran 5.1 saluran dengan lima buah mikrofon.

Spesifikasi:Model: HDC-DX1

Dimensi: 92 x 91 x 174 milimeter

Berat: 680 gram (tanpa bateri)

Lensa: Auto iris, 12 x kuasa zoom

Paparan: 3 inci

Pembesar suara: jenis dinamik

Diameter penapis: 43 milimeter

Iluminisasi: 1,400 lx

Format gambar bergerak: MPEG4

Format gambar pegun: JPEG

February 19, 2008 Posted by | Uncategorized | Leave a Comment

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.